Imam al-Khatib al-Syirbini mendefinisikan haid seperti berikut:
دم جبلة أي تقتضيه الطباع السليمة يخرج من اقصى رحم المراة بعد بلوغها على سبيل الصحة من غير سبب في أوقات معلومة
Maksudnya: Darah semula jadi sebagai kejadian normal yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada waktu-waktu yang diketahui.
(Lihat: Mughni al-Muhtaj, 1/277)
Berdasarkan definisi di atas, dapat difahami bahawa haid ialah darah semulajadi yang keluar secara normal daripada pangkal rahim wanita bukan disebabkan sakit serta ia keluar pada waktu-waktu tertentu sama ada pada waktu sekurang-kurang haid atau sebanyak-banyak haid atau waktu kebiasaan haid.
(Rujuk: al-Ibanah wal al-Ifadhah, 13)
Definisi ini berbeza dengan darah istihadah iaitu:
هي الدم الزائد على اكثر الحيض والنفاس او هي الدم الخارج من غير أيام الحيض والنفاس
Maksudnya: Darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas.
(Lihat: al-Taqrirah al-Sadidah, 1/167)
Ini bermakna, darah haid berlaku dalam tempoh tertentu berbeza dengan istihadah yang tidak mempunyai tempoh waktu tertentu.
Tempoh Haid
Dalam kitab al-Taqrirah al-Sadidah penulis menyebutkan tempoh haid adalah seperti berikut:
Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam (24 jam), sebanyak-banyak tempoh haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan tempoh haid ialah 6 atau 7 hari.
(Rujuk: al-Taqrirah al-Sadidah, 1/161)
Justeru, kami ringkaskan tempoh haid seperti berikut:
Imam al-Darimi dalam penulisannya menyebutkan bahawa:
Sekiranya seorang perempuan yang sudah mencapai umur haid (9 tahun dan ke atas) melihat darah yang keluar pada tempoh sekurang-kurang haid (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) maka kesemua darah itu adalah haid. Sama ada tempoh tersebut sama seperti adat kebiasaanya sebelum ini atau tidak. Sama ada darah yang keluar mempunyai warna yang sama atau berbeza. Hal ini demikian kerana, syarat-syarat haid telah terkumpul padanya.
(Rujuk: al-Najm al-Wahhaj Fi Syarh al-Minhaj, 1/498)
Berdasarkan kenyataan ini dapat difahami bahawa, darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam, walaupun berbeza adat dengan bulan sebelum nya atau berbeza warna darah yang keluar, selagi mana ianya keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan tidak melepasi tempoh tersebut, maka kesemuanya dihukumkan darah haid.
Walau bagaimanapun, sekiranya darah yang keluar melepasi tempoh 15 hari 15 malam dan bersambung dengan hari seterusnya tanpa berhenti maka darah yang keluar dihukumkan sebagai darah istihadah manakala wanita yang mengalami keadaan ini dinamakan sebagai wanita mustahadah yang memiliki beberapa pembahagian kerana darah haid dan istihadahnya telah bercampur dalam tempoh tersebut.
(Rujuk: Matan al-Zubad, 27)